Dihantar pada: 18/06/08 - 11:42:56 GMT+08:00 oleh BasicCX
Sinopsis Filem Sepi
Jalan menemui kebahagiaan tidak selalunya mudah. Untuk Adam, Sufi dan Imaan, sepi terlebih dulu menjengah hati mereka. Sepi membuat mereka mencari cinta, memilih cinta, dan menggengam cinta. Sepilah mengajar mereka erti cinta.
Adam seorang chef yang berjaya, dan kek perkahwinannya sering menjadi idaman pengantin. Dia sentiasa menghadiri majlis majlis perkahwinan – tanpa pasangan. Walau sentiasa dikelilingi teman-teman, Adam rasa tersendiri. Walau sentiasa kelihatan ceria, hatinya tercari-cari. Dia inginkan seseorang untuk berkongsi bahagia.
Tapi mungkinlah cinta yang dicari, telah lama berada di depannya?
Sufi & Marya
Setelah kematian isterinya, Sufi terbeban dengan memori. Hatinya yang kosong enggan meneruskan hidup tanpa kekasih hati. Dia berlari - menjauhkan diri dari realiti kehidupan, kerjaya, malah anaknya sendiri. Tidak terbayang olehnya cinta akan menjenguknya lagi. Bukankah cinta datang hanya sekali dalam hidup?
Imaan kecewa bila pementasan teater nukilannya tidak diambil serius oleh pelakon utamanya, Ean. Imaan bencikan Ean, tapi tanpa disedarinya, Ean berjaya mencuri hatinya. Benci berubah menjadi bibit cinta. Tapi Imaan sudah berpunya. Hatinya tersepit antara kasih pada dua lelaki yang begitu penting dalam hidupnya. Akhirnya, cinta memaksa Imaan memilih.
Tiga kisah yang berbeza, terikat dalam satu tujuan.
Ulasan:
Filem terbaru terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) menerusi divisyen kreatif GBSB iaitu Alternate Studio yang berjudul SEPI bakal menemui penonton di pawagam bermula 26 Jun ini. Filem arahan Kabir Bhatia ini masih berpaksikan pada tema cinta (sebagaimana filem arahan beliau sebelum ini,iaitu CINTA ) dijangka akan memikat penonton yang mengharapkan kelainan dalam penghasilan karya mainstream tempatan.
SEPI membicarakan tentang kesepian dalam cinta melalui perjalanan 3 cerita, berlatar visual yang hebat dan mainan warna yang menterjemah suasana dan emosi yang dilalui oleh setiap pendukung watak yang terlibat.
Filem ini juga disulami dengan lagu-lagu dan muzik tema yang memainkan peranan menceritakan mood dan suasana, seperti ‘Jatuh Cinta’ nyanyian Pacai, ‘Puisi Sepi’ nyanyian Baizura Kahar, ‘Kau Ada Dia’ nyanyian kumpulan The Lima dan ‘Sepi’ nyanyian Yuni Shara.
Barisan Pelakon:
Afdlin Shauki (Adam) Vanidah Imran (Ilyana) Nasha Aziz (Suzie) Tony Eusoff (Sufi) Eja (Marya) Muhammad Riefqie (Ashraff) Rozita Che Wan (Nina) Baizura Kahar (Imaan) Syed Hussein (Ean) Pierre Andre (Khalif)
Tonton Filem ini yang akan ditayangkan di seluruh pawagam mulai 26 Jun 2008.
Semua komen adalah daripada penghantar sendiri. Kami tidak bertanggung jawab terhadap isi kandungannya. Hanya ahli berdaftar boleh menghantar komen pada artikel ini.